MINDEF Perkukuh Komunikasi Organisasi Melalui Mesyuarat MBJ 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh usaha meningkatkan tadbir urus serta hubungan dua hala antara pengurusan dan warga kementerian menerusi Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Wisma Pertahanan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, sebagai sebahagian daripada komitmen kementerian dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan serta responsif terhadap keperluan warga kerja.

MBJ berperanan sebagai platform penting bagi membolehkan pihak pengurusan dan warga MINDEF bertukar pandangan, membincangkan isu berkaitan kepentingan bersama serta mengenal pasti langkah penambahbaikan dalam aspek pengurusan organisasi.

-Advertisement-

Selaras dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, perbincangan turut memberi fokus kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga, pembangunan kompetensi, pengurusan prestasi serta pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH).

MINDEF menegaskan pelaksanaan pendekatan kerja moden perlu diterjemahkan melalui peningkatan produktiviti, integriti dan akauntabiliti warga kementerian tanpa menjejaskan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – The Capital Post