Datul Johari Tinjau Industri Semikonduktor dan Automotif di Kulim

Estimate Reading Time: < 1 minute

KULIM 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan lawatan kerja ke beberapa syarikat utama di Kulim, Kedah bagi meninjau perkembangan pelaburan, keupayaan teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan dalam sektor semikonduktor dan automotif negara.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh daya saing sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Destinasi pertama ialah SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. di Kulim Hi-Tech Park, di mana menteri diberikan taklimat mengenai keupayaan syarikat menghasilkan wafer semikonduktor berteknologi tinggi yang digunakan dalam pelbagai sektor strategik seperti automotif, komunikasi, perindustrian dan sains hayat. Lawatan itu turut merangkumi sesi perbincangan bersama pengurusan serta tinjauan ke fasiliti pengeluaran syarikat.

Johari kemudian mengunjungi Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. untuk meninjau perkembangan pelaburan syarikat, pengeluaran cip kuasa dan sensor bagi pasaran global serta pembangunan fasiliti fabrikasi semikonduktor silikon karbida (SiC) yang menyokong industri automotif dan tenaga bersih. Beliau turut melihat sendiri penggunaan teknologi pembuatan terkini yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor serantau.

-Advertisement-

Lawatan diteruskan ke Inokom Corporation Sdn. Bhd., antara syarikat pemasangan kenderaan kontrak terbesar negara. Dalam sesi tersebut, beliau diberi penerangan mengenai operasi pemasangan Completely Knocked Down (CKD), pembangunan tenaga kerja mahir serta kerjasama syarikat dengan jenama automotif antarabangsa, di samping meninjau proses pemasangan kenderaan yang menyokong pertumbuhan industri automotif tempatan.

MITI menegaskan lawatan kerja itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem pembuatan maju dan mempercepat pembangunan industri berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama semikonduktor dan pembuatan maju di rantau ini. – The Capital Post