KUALA PILAH, 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan di Istana Besar Seri Menanti.
Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, bersama kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang mengangkat sumpah jawatan Ahad lalu.
Empat ADUN daripada Barisan Nasional (BN) yang mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng).
-Advertisement-
Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Siow Kong Choon (Chennah) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Dua lagi ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) yang dilantik sebagai Ahli Exco ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung Sabtu lalu, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu. – The Capital Post.