KKR Pantau Projek Infrastruktur Alor Gajah

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR GAJAH 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur di Alor Gajah, Melaka menerusi lawatan pemantauan terhadap pelaksanaan projek pembangunan serta penyelenggaraan kemudahan awam bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat setempat.

Lawatan kerja itu diketuai Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan bersama pegawai KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah bagi menilai perkembangan projek serta tahap penyampaian perkhidmatan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Inisiatif tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kemudahan seperti jalan raya, jambatan, bangunan awam dan fasiliti pendidikan terus diperkasakan menerusi pelaksanaan projek yang berkualiti, selamat dan berkesan.

JKR Daerah Alor Gajah kini bertanggungjawab menyelenggara rangkaian jalan melibatkan 108.81 kilometer (km) Jalan Persekutuan, 214.007 km Jalan Utama Negeri serta 174.403 km Jalan Sekunder Negeri. Kerja penyelenggaraan meliputi pembaikan jalan berturap dan tidak berturap, sistem saliran, pembentung serta cerun.

Sehingga Julai 2026, sebanyak RM6.82 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di daerah itu, termasuk pembaikan permukaan jalan, sistem perparitan, garisan jalan dan jambatan. Daripada jumlah tersebut, RM750,000 dikhususkan bagi rawatan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan.

Selain penyelenggaraan, satu projek menaik taraf Jalan Persekutuan dari Bulatan Tol Simpang Ampat ke Lebuh AMJ, Jalan FT019 sedang dilaksanakan dengan kos siling RM30 juta bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

-Advertisement-

Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek menangani kawasan berisiko banjir menerusi Projek Naik Taraf Crossing Culvert Seksyen 270.20 hingga 271.00, Jalan FT005 Lubok China dengan peruntukan RM3 juta yang kini berada pada peringkat reka bentuk.

Dalam sektor bangunan awam pula, lima Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM22.6 juta sedang dilaksanakan melibatkan kemudahan pendidikan, keagamaan dan latihan kemahiran termasuk pembinaan semula bangunan daif sekolah, pembinaan masjid serta naik taraf fasiliti latihan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah.

Turut diberi perhatian ialah Program Cakna MADANI bagi pembinaan 14 bilik darjah tambahan Tahun 1 Sesi 2027 di sekolah-sekolah sekitar Alor Gajah dengan nilai projek RM12.05 juta, selain pembinaan kemudahan dewan dan gelanggang serbaguna berbumbung bernilai RM1.83 juta.

KKR turut menyediakan RM5.1 juta bagi kerja penyelenggaraan bangunan Persekutuan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

KKR menegaskan komitmen untuk memastikan semua projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti serta memberikan manfaat berterusan kepada rakyat, selain menyokong pertumbuhan ekonomi setempat. – The Capital Post