PUTRAJAYA 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Lebih 10,000 warga perkhidmatan awam bersama ahli keluarga menyertai Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-21 (MAPPA XXI) 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, turut mengambil bahagian dalam acara tersebut yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Larian berkenaan dirasmikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Acara anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama warga perkhidmatan awam, selain memupuk kesedaran terhadap kepentingan kecergasan fizikal dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi turut mengambil kesempatan menerusi program berkenaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
-Advertisement-
Pasukan sukarelawan HKHM 2026 hadir mengedarkan bahan promosi kepada orang ramai, selain membawa JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) yang diterajui oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan kempen sambutan kemerdekaan kepada masyarakat.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Datuk Aminurrahim Mohamed dan Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad.
Penganjuran Larian MAPPA XXI 2026 mencerminkan komitmen berterusan perkhidmatan awam dalam membina warga kerja yang cergas, bersatu dan mempunyai semangat kebersamaan yang kukuh. – The Capital Post