KUALA LUMPUR 11 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) menganjurkan International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026 kali ke-7 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Majlis pembukaan persidangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir bersama Timbalan Menteri PETRA, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad.
Turut hadir Pengerusi SEDA Malaysia, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, Puan Mareena binti Mahpudz.
Bersempena penganjuran ISES 2026, PETRA turut melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0), iaitu pelan strategik selama 10 tahun yang memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan penggunaan tenaga elektrik dan termal di Malaysia.
NEEAP 2.0 menyasarkan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 11.6 peratus berbanding senario biasa, dengan potensi penjimatan tenaga terkumpul sebanyak 815,000 terajoule (TJ). Jumlah tersebut dianggarkan bersamaan dengan keperluan bekalan elektrik seluruh Semenanjung Malaysia selama hampir dua tahun.
-Advertisement-
Pelaksanaan pelan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada ekonomi serta ekosistem tenaga hijau negara dengan potensi menjana penjimatan tenaga bersih bernilai RM85 bilion dan menarik pelaburan swasta sehingga RM36 bilion.
Selain itu, inisiatif tersebut dijangka menyumbang kepada pewujudan kira-kira 29,000 peluang pekerjaan baharu, di samping membantu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 26 juta tan karbon dioksida (CO₂) menjelang 2035.
Penganjuran ISES 2026 dan pelaksanaan NEEAP 2.0 mencerminkan komitmen Kerajaan dalam mempercepatkan transformasi sektor tenaga, menggalakkan pembangunan rendah karbon serta menyokong sasaran negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post