KAJANG 13 Ogos 2026 (The Capital Post) – Majlis Serah Terima Tugas Komisioner Jeneral Penjara dan Yang Dipertua PERSIAP Malaysia berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia, semalam, sebagai simbol kesinambungan kepimpinan serta amanah dalam memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan pemasyarakatan negara.
Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, yang menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan dalam memastikan agenda Jabatan Penjara Malaysia terus diperkasakan.
Dalam serah terima tugas Komisioner Jeneral Penjara, YBhg. KJP Dato’ Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada YBrs. TKJP Hafidz bin Othman, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) yang menjalankan tugas sebagai Komisioner Jeneral Penjara.
Peralihan tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh agenda pemasyarakatan, meningkatkan profesionalisme warga kerja serta memastikan penyampaian perkhidmatan korektif dilaksanakan pada tahap terbaik.
Dalam majlis sama, tugas Yang Dipertua PERSIAP Malaysia turut diserahkan oleh YBhg. Datin Sri Hajah Rosnani binti Mohamed kepada YBrs. Puan Fifyanty binti Abd Manan, Pengerusi PERSIAP Cawangan Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Maktab Penjara Malaysia yang menjalankan tugas sebagai Yang Dipertua PERSIAP Malaysia.
-Advertisement-
Serah terima berkenaan disaksikan oleh Datin Seri Hamisah binti Hussin, Timbalan Penaung PUSPANITA Cawangan Kementerian Dalam Negeri, sebagai tanda kesinambungan kepimpinan dalam memperkukuh peranan PERSIAP Malaysia terhadap kebajikan dan kesejahteraan keluarga warga Kementerian Dalam Negeri.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Yang Berusaha Puan Ainah binti Mohd Soon; serta barisan kepimpinan dan warga kerja Jabatan Penjara Malaysia.
Peralihan kepimpinan tersebut bukan sekadar pertukaran tanggungjawab, sebaliknya menjadi kesinambungan amanah dan legasi dalam usaha membawa Jabatan Penjara Malaysia terus maju serta memperkukuh sistem pemasyarakatan negara yang berintegriti, profesional dan berdaya saing. – The Capital Post