KUCHING 13 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, melaksanakan lawatan kerja ke Sarawak semalam dengan menghadiri Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 serta meninjau perkembangan projek pendidikan di beberapa sekolah sekitar Kuching.
Pada sambutan yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching, beliau menyaksikan pelancaran Modul Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS) dan menerima modul tersebut daripada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penerapan nilai integriti dalam kalangan warga sekolah.
Dalam lawatan sama, YBhg. Dato’ KSU turut turun padang ke tiga institusi pendidikan iaitu Sekolah Kebangsaan Astana, Sekolah Kebangsaan Encik Buyong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya bagi meninjau kemajuan projek pembangunan serta penyelenggaraan yang sedang dilaksanakan.
Antara perkara yang diberikan perhatian termasuk pelaksanaan projek bilik darjah Tahun 1, pembinaan bangunan asrama baharu serta kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah berkenaan.
-Advertisement-
Pemantauan tersebut bertujuan memastikan setiap projek berada pada tahap prestasi yang memuaskan, selain dilaksanakan mengikut perancangan dan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid.
Lawatan kerja berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan untuk memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan berjalan lancar, di samping memperkukuh nilai integriti sebagai elemen penting dalam pembentukan ekosistem pendidikan negara.
Usaha tersebut turut selari dengan aspirasi kementerian untuk memperkasakan peranan guru dan institusi pendidikan dalam membentuk generasi masa hadapan yang berkualiti, berintegriti dan berdaya saing. – The Capital Post