KUALA LUMPUR 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kewangan (MoF) meneruskan siri sesi libat urus bersama kementerian dan pihak berkepentingan menerusi perbincangan cadangan inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meneliti keutamaan sektor tenaga, air dan kelestarian alam sekitar.
Sesi tersebut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, yang membincangkan cadangan strategik bagi memperkukuh agenda peralihan tenaga serta memastikan keterjaminan sumber air negara.
Antara fokus utama perbincangan adalah usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperluas akses kepada bekalan air bersih yang selamat dan berdaya tahan, selain mempergiat penggunaan tenaga boleh baharu.
Perbincangan turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh ekonomi kitaran serta agenda kelestarian alam sekitar sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan negara yang lebih mampan dan berdaya tahan.
-Advertisement-
Sesi libat urus berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan untuk mendapatkan pandangan kementerian serta pihak berkepentingan dalam merangka inisiatif Belanjawan 2027 secara menyeluruh, bersasar dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negara.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, YBrs. Puan Mareena binti Mahpudz; pegawai kanan MoF dan PETRA serta Pasukan Belanjawan 2027. – The Capital Post