400 Pelajar Sertai Astropiknik Perseids 2026 di Kota Belud

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BELUD 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Program Astropiknik: Juraian Meteor Perseids 2026 di Tegudon Tourism Village (TTV), Kota Belud menjadi platform pembelajaran astronomi yang menarik apabila menghimpunkan kira-kira 400 pelajar untuk meneroka ilmu sains angkasa menerusi pengalaman pencerapan secara langsung.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, bertujuan memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), memperkasa pendidikan STEM serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap astronomi.

Program berkenaan turut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap KPSTI Sabah, YBhg. Datuk Hassan bin Mahali. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, YBhg. Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul serta Pengarah Planetarium Negara, YBrs. Encik Mohd Zamri Shah Mastor.

Antara aktiviti utama yang disediakan ialah sesi pencerapan berpandu Juraian Meteor Perseids di kawasan Dark Sky Kota Belud, yang dijangka menampilkan sehingga 100 meteor sejam, selain aktiviti pengiraan meteor secara saintifik bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal kepada peserta.

-Advertisement-

Pelajar turut berpeluang menyertai aktiviti astrofotografi Bima Sakti, pencerapan Matahari menggunakan teleskop khas bersama pakar, tayangan Mini Planetarium, pameran STEM serta persembahan sains interaktif yang menggabungkan elemen pendidikan dan pengalaman luar bilik darjah.

Penganjuran Astropiknik Perseids 2026 mencerminkan usaha berterusan MOSTI dan Planetarium Negara dalam mendekatkan ilmu sains angkasa kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Pada masa sama, keistimewaan langit gelap Sabah berpotensi diketengahkan sebagai khazanah astronomi yang mampu menyokong perkembangan bidang sains angkasa dan pelancongan berasaskan astronomi di negara ini. – The Capital Post