PUTRAJAYA 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) NRES Bilangan 8 Tahun 2026 yang berlangsung pada 13 Ogos 2026.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha NRES, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana Mohd. Zainudin dan dihadiri Ketua-Ketua Jabatan, Setiausaha-Setiausaha Bahagian serta wakil agensi pusat termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah prestasi perbelanjaan pembangunan, perkembangan pelaksanaan projek serta pengemaskinian maklumat menerusi Sistem MyProjek. Langkah tersebut penting bagi memastikan projek-projek di bawah kementerian berjalan mengikut jadual ditetapkan serta peruntukan pembangunan digunakan secara optimum.
-Advertisement-
Dalam mesyuarat itu, KSU NRES turut mengingatkan semua Ketua Jabatan supaya mempertingkatkan tindakan susulan, pemantauan secara berterusan serta tahap akauntabiliti dalam memastikan sebarang isu yang menjejaskan pelaksanaan projek dapat diselesaikan dengan segera.
Usaha tersebut dilihat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan kementerian selain membantu NRES mencapai sasaran perbelanjaan bagi tahun 2026 secara berkesan dan berimpak kepada pembangunan negara. – The Capital Post