KUALA LUMPUR 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 anak muda Malaysia menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat dengan jumlah pelaburan mencecah RM96.6 juta sejak penubuhannya pada 1966.
Perkara itu dinyatakan Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 YTAR yang berlangsung di ibu negara.
Menurut beliau, usaha YTAR sepanjang enam dekad lalu merangkumi pemberian biasiswa, bantuan kewangan serta program pembangunan kepimpinan yang terbuka kepada anak muda daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Inisiatif berkenaan turut menyediakan peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain membantu mereka membangunkan potensi diri, memperkukuh kemahiran kepimpinan dan menyumbang secara lebih bermakna kepada pembangunan negara.
-Advertisement-
Datuk Aaron berkata, peranan YTAR kini berkembang melangkaui pemberian biasiswa apabila yayasan berkenaan turut berperanan mengenal pasti bakat, memperluas akses pendidikan serta membantu membangunkan potensi golongan muda Malaysia.
Beliau pada masa sama menggesa lebih banyak syarikat dan organisasi korporat menjadikan pendidikan serta pembangunan bakat sebagai antara keutamaan dalam agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), khususnya bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang dan mencapai potensi mereka. – The Capital Post