Sesi Sembang Santai MOSTI Kongsi Realiti Dunia Pekerjaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Sesi Sembang Santai Bil. 14 Tahun 2026 yang berlangsung di Atrium Peterana, hari ini, mengetengahkan pengalaman seorang pelajar latihan industri dalam mengenali realiti dunia pekerjaan dari sudut pandang generasi muda.

Program yang disertai warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu dimulakan dengan aktiviti Senaman X-Break sebagai usaha menggalakkan amalan hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga kementerian.

Sesi perkongsian kali ini menampilkan Cik Nurul Irdina Farzana binti Zulkifly, pelajar tahun akhir Matematik dengan Ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang telah menjalani latihan industri selama enam bulan di Bahagian Kewangan, Seksyen Perolehan MOSTI.

Menerusi perkongsian bertajuk “Perspektif Seorang Intern Melihat Dunia Pekerjaan – An Experience, Learning and Growth”, beliau berkongsi pengalaman sepanjang menjalani latihan industri serta cabaran dan pembelajaran yang diperoleh ketika menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan sebenar.

-Advertisement-

Antara perkara yang diketengahkan ialah perbezaan antara jangkaan sebelum memasuki alam pekerjaan dengan realiti yang perlu dihadapi. Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa dunia pekerjaan bukan sekadar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari, malah memerlukan seseorang untuk terus menimba ilmu, berkomunikasi, bertanya, menyesuaikan diri dan menyelesaikan situasi sebenar yang pelbagai.

Sepanjang tempoh enam bulan, pengalaman beliau berkembang secara berperingkat daripada mengenali dan memahami persekitaran kerja, meneroka serta mengaplikasikan pengetahuan, sehinggalah memperbaiki kemahiran dan menyesuaikan diri dengan tuntutan pekerjaan.

Perkongsian tersebut diharap dapat menjadi pengalaman bermakna kepada warga MOSTI, selain memberi inspirasi kepada pelajar latihan industri lain yang bakal melangkah ke alam pekerjaan serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran kerjaya. – The Capital Post