International Kelantan Vaganza 2026 Angkat Budaya ke Dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 17 Ogos 2026 (The Capital Post) – Semangat, seni dan warisan Kelantan terus diperkasa menerusi Majlis Pra-Pelancaran International Kelantan Vaganza 2026 yang berlangsung di Kolej Kediaman Siswa Jaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Anak-Anak Kelantan Darulnaim Malaysia (PAKATAN DARUL NAIM MALAYSIA) dengan kerjasama Kolej Kediaman Siswa Jaya serta Sekretariat Mahasiswa Kelantan Vaganza 2026.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, yang sekali gus mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkasakan golongan muda dalam memelihara dan mengangkat seni, budaya serta warisan Kelantan ke peringkat lebih luas.

International Kelantan Vaganza 2026 bukan sekadar sebuah program kebudayaan, malah menjadi platform untuk menyemarakkan identiti anak Kelantan, memperkukuh jaringan sesama masyarakat Kelantan serta memperkenalkan keunikan tradisi dan budaya negeri tersebut kepada masyarakat antarabangsa.

-Advertisement-

Penglibatan generasi muda dalam penganjuran program seumpama ini turut dilihat penting bagi memastikan warisan budaya Kelantan terus dipelihara, dikembangkan dan diperkenalkan kepada generasi akan datang.

Inisiatif tersebut turut membawa aspirasi menyatukan anak-anak Kelantan daripada pelbagai latar belakang melalui semangat kebersamaan, selain mengetengahkan kekayaan budaya negeri yang mempunyai keunikan tersendiri.

Dengan semangat “10 Daerah, Satu Semangat, Satu Kelate”, International Kelantan Vaganza 2026 diharap menjadi wadah yang mampu membawa identiti dan khazanah budaya Kelantan melangkaui sempadan negara. – The Capital Post