KDN Perkasa Perangi Dadah Dengan Teknologi AI dan Dron

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan usaha memperkukuh agenda keselamatan negara menerusi Perhimpunan Bulanan KDN bagi Ogos 2026 yang dianjurkan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail.

Perhimpunan tersebut turut menyaksikan pelancaran KDN Gen AI Platform, Unit Dron AADK serta Pelan Strategik AADK 2026–2030 sebagai antara inisiatif penting bagi memperkasakan fungsi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan dalam menangani ancaman penyalahgunaan dadah.

Sebanyak 18 unit dron AADK akan dimanfaatkan bagi memperluas keupayaan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot penyalahgunaan dadah. Penggunaan teknologi berkenaan membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, di samping membantu mendapatkan maklumat yang lebih tepat untuk disalurkan kepada pasukan gerakan bagi menyokong tindakan penguatkuasaan.

Pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan dan dron ini mencerminkan komitmen berterusan AADK dalam mempertingkat keupayaan operasi serta memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Pelan Strategik AADK 2026–2030 menjadi landasan bagi memperkukuh pendekatan agensi dalam melaksanakan fungsi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan secara lebih tersusun serta responsif terhadap cabaran semasa.

Selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang membawa tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, usaha memerangi ancaman dadah turut dilihat sebagai sebahagian daripada perjuangan mempertahankan kesejahteraan, keselamatan dan masa depan masyarakat serta negara. – The Capital Post