KUALA LUMPUR 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah, hari ini meninjau sesi latihan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Stadium Merdeka yang melibatkan Kontinjen Komponen Ekonomi HKHM 2026.
Dalam tinjauan tersebut, Datuk Abdul Halim menegaskan bahawa sambutan HKHM 2026 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya berperanan sebagai wadah untuk memperkukuh naratif perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan rakyat terhadap aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
Kontinjen Komponen Ekonomi HKHM 2026 melibatkan seramai 1,859 peserta daripada 43 kontinjen yang mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan sektor ekonomi negara. Penglibatan pelbagai agensi dan organisasi turut memperlihatkan semangat kerjasama serta kesepaduan dalam menjayakan sambutan peringkat kebangsaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi-agensi yang terlibat serta seluruh peserta atas komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang sesi persiapan perarakan.
-Advertisement-
Persiapan yang dilaksanakan secara berterusan itu penting bagi memastikan perjalanan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung lancar, teratur dan mampu menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) merangkap Setiausaha Jawatankuasa Kerja HKHM 2026, Datuk Aminurrahim Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Harun Ali; serta Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan, Kamarudin Abdul Rani. – The Capital Post