Tourism Malaysia Raih PATA Gold Awards 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

SARAWAK 20 Ogos 2026 (The Capital Post) – Tourism Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila meraih PATA Gold Awards 2026 dalam kategori Marketing – Travel Video menerusi video kempen Melawat Malaysia (VM2026), “Surreal Experiences”.

Pengiktirafan tersebut diumumkan pada 19 Ogos 2026 dalam acara PATA Gold Awards Gala Dinner yang berlangsung bersempena PATA Travel Mart 2026 di Kuching, Sarawak.

Anugerah berkenaan diterima oleh Mohd Akbal Setia, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat VM2026–2027. Penyampaian anugerah dilakukan oleh Noor Ahmad Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif PATA.

Majlis turut disertai Henry Oh selaku Pengerusi PATA, selain kehadiran Yasmin Faezah Samsudin, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dan Rubiah Tul Adwiyah Haji Md. Yusof, Pengarah Pejabat Penyeliaan TIC Sarawak.

-Advertisement-

Kemenangan tersebut mencerminkan keupayaan strategi promosi pelancongan Malaysia dalam mengetengahkan keunikan destinasi, pengalaman dan identiti negara kepada khalayak antarabangsa menerusi pendekatan kreatif dalam penghasilan kandungan video.

Pengiktirafan di pentas PATA Gold Awards 2026 turut memperkukuh usaha Malaysia untuk meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, khususnya melalui kempen VM2026 yang mengetengahkan pengalaman perjalanan yang unik dan berbeza.

Kejayaan itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mempromosikan Malaysia di peringkat global serta memperkenalkan kepelbagaian budaya, pengalaman dan tarikan negara kepada pelancong dari seluruh dunia. – The Capital Post