KUALA LUMPUR 23 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan keperluan Belanjawan 2027 dimanfaatkan sebagai instrumen strategik untuk memperkukuh sistem kesihatan negara serta memastikan perubahan yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyatakan perkara itu ketika menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KKM yang berlangsung di Ibu Pejabat KKM. Sesi bertemakan “Menggapai Di Langit Mengakar Di Bumi” tersebut menghimpunkan pandangan dan cadangan daripada kementerian serta pelbagai pemegang taruh berkaitan sektor kesihatan.
Bagi Belanjawan 2027, KKM memberi tumpuan kepada tiga kluster utama yang merangkumi lapan bidang tumpuan, termasuk usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan rakyat, meningkatkan daya tahan negara serta memperkukuh keadilan sosial dan pembangunan untuk semua.
KKM turut menekankan pendekatan berorientasikan hasil dan impak dalam menentukan peruntukan, dengan setiap cadangan perlu menjelaskan masalah yang ingin ditangani, kumpulan penerima manfaat, sasaran perubahan serta kaedah pengukuran keberkesanan.
Antara pencapaian hasil daripada keutamaan peruntukan terdahulu termasuk tambahan RM10 juta pada 2026 bagi rawatan penyakit dermatologi menggunakan ubat biologik. Peruntukan bagi Penyakit Jarang Jumpa juga meningkat daripada RM25 juta kepada RM42 juta, sekali gus membolehkan tambahan 106 pesakit baharu menerima rawatan.
Sementara itu, Hospital Services Outsourcing Programme (HSOP) diteruskan dengan peruntukan RM144 juta, selain peluasan skop perkhidmatan daripada 12 kepada 15 perkhidmatan.
-Advertisement-
Dalam aspek transformasi digital, pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik menerusi Cloud-Based Clinic Management System mencatatkan peningkatan pendigitalan sebanyak 150 peratus dan kini diperluaskan secara berperingkat selaras dengan aspirasi “1 Individu, 1 Rekod”.
Secara keseluruhannya, sesi libat urus tersebut memberi penekanan terhadap pemerkasaan sumber manusia dan infrastruktur kesihatan, pengukuhan perkhidmatan serta bantuan kepada kumpulan berkeperluan, selain aspek kesihatan mental, kebajikan sosial, inklusi, aksesibiliti dan transformasi sistem kesihatan.
KKM menyasarkan pembangunan sistem kesihatan yang lebih kukuh, berdaya tahan, responsif, berteraskan teknologi digital dan saksama supaya rakyat di kawasan bandar mahupun pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti apabila diperlukan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak; serta Setiausaha Bahagian Kewangan KKM, YBrs. Encik Dhanesh Kumar Danesekaran. – The Capital Post