VALENCIA, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Juara dunia MotoGP lapan kali, Marc Marquez mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran itu selepas mencipta sejarah dengan meraih gelaran kejuaraan dunia kelapannya.
Pelumba dari Sepanyol berusia 33 tahun itu memenangi kejuaraan terbaharunya minggu lalu dan bakal beraksi pada Grand Prix Valencia hujung minggu ini, yang disahkan sebagai perlumbaan terakhirnya dalam MotoGP.
Pasukannya, Ducati Lenovo, mengesahkan keputusan berkenaan menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
“Sudah rasmi. Marc Marquez memutuskan untuk bersara daripada MotoGP,” menurut kenyataan pasukan itu.
Marquez yang dianggap antara pelumba terhebat sepanjang zaman turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya menerusi satu hantaran di Instagram.
“Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya harap anda menikmatinya sebagaimana saya menikmatinya. Ini akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP. Kita telah mencipta sejarah,” katanya.
-Advertisement-
Marquez meraih kejuaraan MotoGP pertamanya pada 2013 sebelum menambah tujuh lagi gelaran, termasuk empat kejuaraan berturut-turut dari 2016 hingga 2019.
Kejayaan terbaharunya diraih pada MotoGP Portugal di Lisbon, sekali gus melengkapkan kebangkitan luar biasa selepas beliau ketinggalan 102 mata di belakang pendahulu ketika itu, Marco Bezzecchi, selepas tujuh pusingan.
Menurut MotoGP, pencapaian itu merupakan kebangkitan daripada defisit mata terbesar dalam sejarah kejohanan berkenaan.
Gelaran kelapan itu turut membolehkan Marquez mengatasi rekod tujuh kejuaraan yang sebelum ini dikongsi bersama legenda MotoGP dari Itali, Valentino Rossi.
Selain menyamai rekod lapan kejuaraan yang dicatatkan pelumba legenda Itali, Giacomo Agostini, pencapaian Marquez turut mengukuhkan kedudukannya dalam sejarah sukan permotoran dunia. – The Capital Post