LUCKNOW, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Vannee Gobi, meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi 2026 selepas berjaya melangkah ke separuh akhir.
Pasangan yang berada di ranking ke-61 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-14 ke atas wakil Indonesia, M. Nawaf Khoiriyansyah-Indah Cahya Sari Jamil, dalam aksi suku akhir di Lucknow.
Kejayaan itu menyusul selepas mereka mencipta kejutan dengan menyingkirkan pilihan utama dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, pada pusingan 16 terbaik.
Yee Hern-Vannee kini bakal berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Sathwik Reddy Kanapuram-Reshika Uthayasooriyan, bagi merebut tiket ke final.
Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara lain berakhir selepas Wong Ling Ching, Lee Zii Jia serta beregu wanita Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan tersingkir daripada kejohanan.
-Advertisement-
Dalam perseorangan wanita, Ling Ching tewas 13-21, 13-21 kepada pemain Thailand, Supanida Katethong.
Zii Jia pula menarik diri ketika ketinggalan 6-11 pada set kedua selepas tewas 16-21 pada set pertama kepada pemain Perancis, Arnaud Merkle, dalam saingan perseorangan lelaki.
Beregu wanita negara, Zi Yu-Noraqilah turut gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 18-21, 21-10, 18-21 kepada pasangan England, Abbygael Harris-Estelle Van Leeuwen, dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam tiga minit.
Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2026 merupakan sebahagian daripada kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertaraf Super 300. – The Capital Post