PUTRAJAYA 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkukuh kerjasama strategik bersama KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. bagi meningkatkan pengalaman pelancong serta memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing, menerima kunjungan hormat delegasi KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, semalam.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik pengalaman pengunjung di kawasan KLCC, termasuk aspek kesiapsiagaan sebagai destinasi bagi sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Perbincangan turut merangkumi keperluan menyediakan kemudahan dan prasarana yang lebih mesra pelancong serta pengurusan perkhidmatan jurugambar yang beroperasi di sekitar kawasan KLCC bagi memastikan pengalaman pengunjung berada pada tahap yang baik.
-Advertisement-
Kerjasama antara MOTAC dan KLCC akan terus diperkukuh bagi memastikan kawasan ikonik berkenaan kekal selesa, mesra pelancong dan mampu memenuhi keperluan pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Usaha berkenaan turut dilihat selari dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 (VM2026) dalam memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim; serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), YBrs. Cik Tan Mei Phing. – The Capital Post