KUALA LUMPUR 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa bakal mahasiswa dan pelajar yang menghadapi kekangan kewangan supaya tidak berputus asa untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
KPT menegaskan bahawa pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif disediakan melalui kementerian, Universiti Awam, politeknik serta kolej komuniti bagi membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen KPT untuk memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar yang telah menerima tawaran melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi.
Pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan dinasihatkan supaya segera berhubung dengan pihak institusi masing-masing bagi mendapatkan maklumat berkaitan bentuk bantuan dan sokongan yang tersedia.
-Advertisement-
KPT turut menggalakkan pelajar agar tidak menyembunyikan masalah yang dihadapi dan berani mendapatkan bantuan supaya penyelesaian dapat dikenal pasti lebih awal.
Inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi kekal terbuka kepada semua golongan, termasuk pelajar daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan.
KPT berharap tiada pelajar yang terpaksa melupakan impian untuk melanjutkan pengajian hanya disebabkan masalah kewangan, sebaliknya mereka digalakkan mendapatkan sokongan yang sewajarnya bagi meneruskan perjalanan pendidikan masing-masing. – The Capital Post