Precious of Malaysia Citraloka 2026 Serlahkan Warisan Seni dan Budaya Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Program Precious of Malaysia Citraloka 2026 diperkenalkan sebagai salah satu pengisian Festival Budaya Malaysia 2026 bagi mengetengahkan keunikan seni, budaya serta warisan negara kepada khalayak yang lebih luas.

Sidang media program berkenaan telah berlangsung di Laman Wau, Kompleks Kraftangan Malaysia pada 20 Ogos lalu dan dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, YBrs. Encik Abdul Halim bin Ali; Presiden Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan, YBhg. Datuk Zulkifli bin Ishak; Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC, YBrs. Encik Mohamd Raizuli bin Mat Jusoh, serta wakil FM Group, Jonathan Kok dan En. Farel Mikhail.

Precious of Malaysia Citraloka 2026 merupakan hasil kerjasama strategik antara MOTAC dan FM Group, dengan penganjurannya dijadualkan berlangsung sepanjang Festival Budaya Malaysia 2026 dari 11 hingga 16 September 2026.

-Advertisement-

Antara tarikan utama program tersebut ialah persembahan peragaan busana yang mengetengahkan identiti dan warisan Malaysia, sekali gus menyediakan ruang untuk memperkenalkan elemen seni tempatan melalui pendekatan kreatif dan kontemporari.

Penganjuran program ini turut mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa industri kreatif serta memelihara khazanah seni dan budaya tempatan agar terus dihargai oleh masyarakat dan diketengahkan ke peringkat lebih luas.

Inisiatif berkenaan diharap dapat meningkatkan apresiasi terhadap kepelbagaian warisan Malaysia serta mengukuhkan kedudukan seni dan budaya tempatan sebagai aset penting dalam membentuk identiti negara. – The Capital Post