BANGKOK 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh hubungan dua hala dengan Republik Filipina menerusi perbincangan kerjasama dalam bidang perburuhan, pembangunan kemahiran dan tenaga kerja di luar Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh ASEAN (SLOM) Ke-22.
Pertemuan yang berlangsung di Bangkok itu melibatkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, YBrs. Dr. Haji Mohd Shaharin bin Umar bersama delegasi Filipina yang diketuai Undersecretary Carmela I. Torres daripada Philippines Department of Labor and Employment (DOLE).
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara, khususnya dalam pembangunan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan tenaga kerja yang mampu memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan semasa dan masa hadapan.
Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran ASEAN Green Jobs Forum (AGJF) 2026 oleh Filipina pada Oktober depan. Forum itu merupakan kesinambungan kepada AGJF yang dianjurkan Malaysia ketika Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, dengan memberi penekanan terhadap pembangunan pekerjaan hijau serta kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi perubahan ekonomi.
-Advertisement-
Dalam hubungan itu, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik hasil penganjuran AGJF terdahulu bagi membantu menjayakan edisi 2026 di Filipina.
Kedua-dua negara turut melihat peluang untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan kemahiran dan TVET bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pekerjaan global.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau dalam bidang perburuhan, sekali gus menyokong pembentukan ekosistem pekerjaan ASEAN yang progresif, inklusif dan mampan demi kesejahteraan pekerja serta kemakmuran bersama. – The Capital Post