SHAH ALAM 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kontinjen Selangor mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 buat kali ke-10 pada majlis penutupan yang berlangsung di Aneka Walk, Shah Alam.
DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis tersebut dan menyempurnakan penyerahan piala kejuaraan kepada Kontinjen Selangor.
Turut hadir mengiringi DYTM Raja Muda Selangor ialah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari.
Selangor menutup temasya dengan pencapaian cemerlang selepas mengumpulkan keseluruhan 245 pingat, terdiri daripada 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.
-Advertisement-
Kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan atlet negeri, malah menjadi hasil daripada kesungguhan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet, jurulatih, pegawai serta seluruh anggota kontinjen sepanjang temasya berlangsung.
Pencapaian itu turut memperlihatkan kekuatan pembangunan sukan Selangor dalam melahirkan barisan atlet yang mampu bersaing dan memberikan prestasi terbaik di pentas SUKMA.
Kejuaraan kali ke-10 itu menjadi pencapaian bersejarah buat Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri berkenaan sebagai antara kuasa utama dalam arena sukan negara. – The Capital Post