KPT Henti Prosiding Tatatertib Berkaitan Kebebasan Bersuara Mahasiswa

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 28 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah segera memperluas ruang kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa susulan penegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU).

Langkah tersebut dilaksanakan sementara kerajaan menyediakan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi, selaras dengan hasrat untuk memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan undang-undang baharu diselesaikan.

KPT telah meneliti beberapa tindakan yang boleh dilaksanakan berdasarkan kerangka perundangan sedia ada. Hasil penelitian itu mengenal pasti beberapa peruntukan AUKU dan Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara serta mengurus aktiviti dan persatuan.

Antara ruang yang akan diberikan kelonggaran termasuk pengurusan persatuan dan kelab, pelaksanaan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun, menggunakan platform komunikasi dan mengedarkan atau menerbitkan dokumen.

Sehubungan itu, KPT memutuskan supaya semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

-Advertisement-

Bagaimanapun, kebebasan tersebut tetap perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta menghormati keluhuran undang-undang. Kesalahan melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta benda, jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah masih tertakluk kepada peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.

Bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, KPT turut akan meneliti peruntukan berkaitan mahasiswa di institusi masing-masing supaya langkah pembaharuan dapat dilaksanakan secara selaras.

KPT berkata usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian untuk membangunkan tatakelola pendidikan tinggi yang lebih terbuka, tersusun dan inklusif menerusi penglibatan pelbagai pemegang taruh.

Langkah berkenaan diharap dapat menyokong pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik serta memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam kehidupan kampus secara bertanggungjawab – The Capital Post