Saravanan Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan SPRM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 (The Capital Post) – Bekas Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kuota pekerja asing kira-kira empat tahun lalu.

Saravanan, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau didakwa menerima wang daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim melalui Syed Amirul Syed Ahmad sebagai dorongan untuk meluluskan, ketika memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia, permohonan kuota 1,000 pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.

Timbalan Presiden MIC itu didakwa menerima wang berkenaan dalam tiga transaksi antara Jun dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan pertama, Saravanan didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada Tan melalui Syed Amirul di Bukit Jalil Golf & Country Resort pada 16 Jun 2022.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima RM350,000 lagi dalam bentuk tunai daripada Tan melalui Syed Amirul di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 7 Julai 2022.

Pertuduhan ketiga membabitkan RM597,000 yang didakwa diterima daripada Tan melalui Syed Amirul menerusi cek Maybank Islamic, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic Bhd milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Kesalahan ketiga itu didakwa berlaku di cawangan bank berkenaan di Jalan Klang Lama pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM800,000 dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, kedudukan tertuduh sebagai ahli politik, risiko melarikan diri serta kemungkinan mengganggu saksi.

Julaila yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut memohon syarat tambahan termasuk supaya pasport Saravanan diserahkan kepada mahkamah.

-Advertisement-

Bagaimanapun, peguam Gheetan Ram Vincent berhujah jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tidak munasabah dan berlebihan, dengan menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM serta bukan seorang yang berisiko melarikan diri.

Beliau turut menyatakan Saravanan, yang merupakan Ahli Parlimen Tapah, kerap menghadiri persidangan Parlimen dan bertekad membersihkan namanya.

Gheetan juga menolak dakwaan berhubung kemungkinan gangguan terhadap saksi sebagai bersifat spekulatif.

Beliau memohon supaya pasport Saravanan tidak diserahkan kepada mahkamah kerana Timbalan Presiden MIC itu mempengerusikan beberapa yayasan dan kerap menerima jemputan menghadiri acara di luar negara.

Menurut peguam itu, Saravanan juga mendapatkan rawatan perubatan secara berkala di Apollo Hospital di Chennai, India.

Hakim kemudian membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Saravanan diperintahkan melaporkan diri kepada SPRM setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. – The Capital Post