KUALA LUMPUR 28 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia menganjurkan Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama dewan serta persatuan perniagaan berkaitan pembangunan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sesi yang berlangsung pada 27 Ogos itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, sebagai platform untuk mendapatkan pandangan langsung daripada pemain industri mengenai keperluan, cabaran dan keutamaan sektor PMKS menjelang penyediaan Belanjawan 2027.
Mengangkat tema “PMKS Berdaya Tahan, Membina Masa Hadapan Mampan”, sesi libat urus tersebut memberi tumpuan kepada strategi yang dapat membantu usahawan tempatan meningkatkan daya tahan serta memperluas skala perniagaan dalam menghadapi perubahan ekonomi dan pasaran.
Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan PMKS, kerajaan turut meneruskan sokongan melalui inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM), yang bertujuan membantu perniagaan bukan sahaja bertahan pada peringkat awal, malah berkembang ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing.
Pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh persatuan dan pemain industri akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027 bagi memastikan peruntukan kerajaan dapat disalurkan secara lebih berfokus dan memberi impak kepada pembangunan usahawan tempatan.
-Advertisement-
Pendekatan tersebut turut selari dengan tema Belanjawan 2027, “Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi”, yang menekankan usaha memastikan sumber negara dimanfaatkan bagi memperkukuh daya saing dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud; Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBhg. Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy serta wakil kementerian, agensi dan pemegang taruh berkaitan.
Sesi libat urus itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan suara komuniti perniagaan terus diambil kira dalam merangka dasar dan strategi yang mampu memperkukuh ekosistem keusahawanan serta memacu pertumbuhan PMKS negara – The Capital Post