PKD Marang Jalani Audit Penarafan Bintang Kesihatan Awam

Estimate Reading Time: < 1 minute

MARANG, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang menerima kunjungan pasukan auditor daripada PKD Kemaman bagi melaksanakan Audit Penarafan Bintang Program Kesihatan Awam pada 7 September 2026.

Audit berkenaan merupakan mekanisme penilaian yang dilaksanakan bagi mengukur tahap kecemerlangan pengurusan, tadbir urus, prestasi serta penyampaian perkhidmatan Program Kesihatan Awam di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelaksanaan audit bukan sekadar bertujuan menilai prestasi, malah menjadi ruang bagi kedua-dua daerah berkongsi pengalaman, bertukar amalan terbaik serta mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat berkaitan penambahbaikan perkhidmatan.

Sepanjang sesi berlangsung, pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan dikongsikan bagi memperkukuh aspek pengurusan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan awam. Amalan yang berkesan turut dikenal pasti untuk diteruskan dan dijadikan contoh, manakala aspek yang masih memerlukan penambahbaikan akan diberi perhatian secara berterusan.

-Advertisement-

PKD Marang turut merakamkan penghargaan kepada pasukan auditor PKD Kemaman atas komitmen, perkongsian ilmu serta pandangan yang diberikan sepanjang pelaksanaan audit.

Penghargaan turut diberikan kepada seluruh warga kerja PKD Marang atas kerjasama, komitmen dan sokongan dalam membuat persediaan serta memastikan audit berjalan dengan lancar.

Usaha berterusan ini diharap dapat memperkukuh kualiti, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam demi memastikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan cemerlang kepada masyarakat. – The Capital Post