KUALA LUMPUR 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Bulan Kesedaran Kanser Payudara Pink Oktober dan Program Adopt-A-Mammogram 2026 yang berlangsung di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, hari ini.
Penganjuran program ini merupakan usaha berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser payudara, di samping memperluas akses kepada saringan dan pengesanan awal melalui kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pemilihan TBS sebagai lokasi penganjuran mengetengahkan konsep Health on the Go, iaitu membawa maklumat dan perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada rakyat melalui lokasi tumpuan awam. Pendekatan ini membolehkan mesej kesedaran kesihatan disampaikan secara langsung kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam rutin harian mereka.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib menegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara amat penting untuk menyelamatkan nyawa serta meningkatkan peluang mendapatkan rawatan yang berkesan. Beliau turut mengingatkan wanita supaya melakukan pemeriksaan kendiri secara berkala dan segera mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan sekiranya mengesan sebarang perubahan fizikal luar biasa pada payudara.
Berdasarkan data yang dikongsikan dalam ucapan beliau, kanser payudara kekal sebagai kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia, dengan risiko seorang daripada 23 wanita menghidap penyakit tersebut. Sebanyak 50.5 peratus kes dikesan pada Tahap 3 dan 4, manakala 49.5 peratus lagi dikenal pasti pada Tahap 1 dan 2.
Pengesanan lewat ini lebih ketara dalam kalangan wanita di kawasan luar bandar berikutan kekangan kemudahan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan. Sehubungan itu, usaha memperluas akses kepada saringan mamogram perlu terus diperkukuh bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan pemeriksaan yang bersesuaian.
-Advertisement-
Program Adopt-A-Mammogram 2026 meneruskan usaha tersebut menerusi pendekatan perkongsian awam-swasta yang membuka peluang kepada individu dan organisasi untuk menyumbang kepada pembiayaan saringan mamogram bagi wanita yang memenuhi syarat kelayakan bantuan.
Sepanjang enam hari penganjuran, karnival ini menghimpunkan kira-kira 600 peserta menerusi pelbagai aktiviti kesedaran kesihatan. Antaranya termasuk ceramah kesihatan, demonstrasi pemeriksaan kendiri payudara, bengkel kesihatan mental, aktiviti gaya hidup sihat, pemeriksaan mamogram percuma serta Pink Marketplace yang melibatkan individu yang pernah menghidap kanser atau cancer survivors.
KKM turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) selaku rakan strategik utama, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), pihak pengurusan TBS, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), World Public Welfare Alliance Foundation (WPWAF), NCD Malaysia serta semua petugas, sukarelawan, penyumbang dan cancer survivors yang bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
KKM menyeru semua wanita supaya sentiasa peka terhadap sebarang perubahan pada payudara, mendapatkan nasihat profesional kesihatan mengenai saringan yang bersesuaian dan tidak menangguhkan pemeriksaan sekiranya terdapat tanda atau gejala yang membimbangkan. Kesedaran perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi memperkukuh pengesanan awal, memperluas akses kepada saringan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari; Pengerusi The Smart Travel Hub Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, YBrs. Dr. Noraryana binti Hassan; serta Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Dr. Murallitharan Munisamy. – The Capital Post