Kenduri Rakyat MADANI 2026 Perkukuh Perpaduan di Serian

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menganjurkan Program Kenduri Rakyat MADANI Tahun 2026 bagi Bahagian Serian, Sarawak. Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Dato’ Sri Aaron Ago Dagang, di Dewan Serian pada 24 Oktober 2026.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat serta memperkukuh perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi. Pada tahun ini, kerajaan memperkenalkan dua inisiatif, iaitu Program Kenduri Rakyat MADANI dan Program MADANI Kita, sebagai pendekatan untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat.

Program Kenduri Rakyat MADANI mengangkat budaya kenduri sebagai wadah menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Sementara itu, Program MADANI Kita memberi tumpuan kepada usaha memperluas jangkauan perkhidmatan kerajaan agar lebih dekat dan mudah diakses oleh komuniti setempat.

Kedua-dua inisiatif ini membawa matlamat yang sama, iaitu menyuburkan semangat kebersamaan, menggalakkan interaksi antara masyarakat serta menghidupkan budaya kemasyarakatan yang menjadi asas pembinaan negara bangsa.

JPNIN telah diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah dan penyelaras pelaksanaan kedua-dua program tersebut di 14 lokasi di seluruh negara. Peranan ini mencerminkan usaha berterusan KPN untuk memperkukuh hubungan masyarakat melalui penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak.

-Advertisement-

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Aaron Ago Dagang berharap agar setiap pelaksanaan program dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan rakyat. Usaha ini juga penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih dekat, mudah diakses dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa KPN sentiasa memberikan penekanan terhadap pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai wadah menyatukan masyarakat dan menggerakkan usaha perpaduan di peringkat akar umbi.

Melalui pelaksanaan Program Kenduri Rakyat MADANI dan Program MADANI Kita, kerjasama antara kerajaan, pemimpin komuniti dan rakyat diharap dapat terus diperkukuh bagi membina masyarakat yang harmoni, saling memahami serta bersatu padu. – The Capital Post