MPKL Keluarkan 7 Notis Kompaun Premis Makanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANTING, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan tujuh notis kompaun selepas menjalankan pemeriksaan kebersihan di beberapa premis makanan sekitar daerah Kuala Langat pada 7 September 2026.

Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan persekitaran di premis yang diperiksa berada pada tahap kurang memuaskan dan memerlukan tindakan penambahbaikan segera.

Susulan itu, MPKL mengambil tindakan terhadap pemilik premis melalui tujuh Notis Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan (MDKL) 2007, UUK Pengendali Makanan (MDKL) 2007, UUK Iklan (MDKL) 2007 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pembuangan cecair kotor sehingga mengalir ke saluran longkang, kegagalan memastikan tandas sentiasa bersih serta pengendali makanan yang tidak memakai penutup kepala ketika mengendalikan makanan.

-Advertisement-

Pemeriksaan turut mendapati terdapat premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, mempamerkan papan iklan tanpa lesen serta meletakkan barangan di kawasan awam sehingga menyebabkan halangan kepada orang ramai.

Selain notis kompaun, MPKL turut mengeluarkan Arahan Tindakan Pembetulan yang perlu dilaksanakan serta-merta oleh pemilik premis bagi menangani perkara yang dikenal pasti dan memastikan tahap kebersihan serta pematuhan peraturan dipertingkatkan.

Tindakan penguatkuasaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPKL dalam memastikan pengusaha premis makanan mematuhi peraturan ditetapkan, selain memelihara kebersihan persekitaran dan kesejahteraan penduduk setempat. – The Capital Post