KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenang jasa dan legasi Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai seorang negarawan yang memainkan peranan besar dalam meletakkan asas pembangunan serta pembinaan negara bangsa.
Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar berkata Tun Abdul Razak wajar dikenang sebagai Arkitek Pembangunan Negara Bangsa berikutan sumbangan besar beliau dalam membentuk hala tuju pembangunan negara.
Menurut Anwar, mengenang tokoh terdahulu bukan sekadar mengimbau sejarah, sebaliknya mengambil semangat, keberanian dan perjuangan mereka sebagai inspirasi untuk generasi masa kini.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berkesempatan mengenali Tun Abdul Razak dari dekat, termasuk melihat keterbukaan negarawan itu dalam berdialog bersama golongan muda serta mendengar pandangan, keresahan dan idealisme mereka terhadap isu pembangunan dan perubahan.
Anwar berkata perjuangan Tun Abdul Razak sebagai pemimpin Melayu tidak terbatas kepada kepentingan satu kaum, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Antara usaha penting yang dikaitkan dengan kepimpinan Tun Abdul Razak ialah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang antara lain bertujuan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan sosioekonomi tanpa mengira kaum.
-Advertisement-
Dalam kenyataan sama, Anwar turut mengimbau pesanan Tun Abdul Razak mengenai tiga ancaman utama kepada negara yang dikenali sebagai 3C, iaitu Communism, Communalism and Corruption atau komunisme, perkauman dan rasuah.
Menurut beliau, ancaman komunisme pada ketika itu hadir dalam bentuk gerakan bersenjata, manakala fahaman perkauman yang sempit pula berpotensi menggugat keharmonian sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
Lebih penting, Tun Abdul Razak turut melihat rasuah sebagai ancaman serius kepada negara apabila gejala itu mula mempengaruhi golongan yang mempunyai kuasa seawal dekad 1970-an.
Anwar menegaskan bahawa peringatan berhubung tiga ancaman tersebut kekal relevan sehingga hari ini dan perlu dihayati oleh generasi semasa.
Beliau berkata legasi Tun Abdul Razak tidak seharusnya sekadar dikenang dari sudut sejarah, sebaliknya diteruskan melalui penghayatan terhadap nilai keberanian, integriti serta cita-cita untuk membina sebuah negara yang adil, bersatu dan bermaruah. – The Capital Post