KANGAR, 9 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaksanakan lawatan kerja rasmi bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan infrastruktur pelancongan dan kebudayaan di sekitar Negeri Perlis pada 3 September lalu.
Lawatan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC itu turut melibatkan sesi perbincangan secara one-to-one bersama agensi pelaksana serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis bagi mendapatkan perkembangan terkini projek yang sedang dilaksanakan.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Laman Brasmana di Kuala Perlis bagi meninjau projek menaik taraf dataran riadah pesisir pantai dan laluan pejalan kaki.
Lawatan turut merangkumi Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis bagi memantau pelaksanaan projek pembaikan dan kerja-kerja naik taraf kemudahan sedia ada.
-Advertisement-
Selain itu, rombongan turut meninjau projek membina dan menaik taraf infrastruktur pelancongan di Tasik Melati, Padang Besar.
Sesi pemantauan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan projek pembangunan di bawah MOTAC berjalan mengikut jadual, selain memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta seni budaya di Negeri Perlis.
Pemantauan secara berkala turut dilihat penting bagi memastikan aspek pelaksanaan, kemajuan kerja dan keperluan projek dapat diselaraskan bersama agensi berkaitan demi mencapai hasil pembangunan yang ditetapkan. – The Capital Post