NILAI 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, hadir memeriahkan Program Sukan Antara Program PERMATA (SUKMATA) 2026 yang berlangsung di Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Memasuki tahun ketiga penganjuran sejak diperkenalkan pada 2023, SUKMATA terus menjadi platform untuk menghimpunkan pegawai dan warga Program-Program PERMATA dalam suasana sukan dan rekreasi yang menggalakkan gaya hidup aktif, semangat berpasukan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Pelbagai acara dipertandingkan pada edisi kali ini, termasuk futsal, bola tampar, pickleball, badminton, dart, memancing, sukan rakyat dan memanah. Aktiviti mewarna turut disediakan khusus untuk kanak-kanak bagi mewujudkan suasana program yang mesra keluarga.
Penganjuran SUKMATA bukan sekadar memberi peluang kepada peserta menguji keupayaan dalam pelbagai acara sukan, malah menjadi wadah untuk memupuk persaingan sihat, memperkukuh kerjasama dan membina semangat kebersamaan dalam kalangan warga PERMATA.
-Advertisement-
Selain itu, penglibatan dalam aktiviti sukan dan rekreasi turut membantu menerapkan nilai disiplin, sikap saling menghormati serta semangat kesukanan yang penting dalam membentuk persekitaran kerja yang positif dan harmoni.
Melalui penganjuran berterusan ini, SUKMATA diharap dapat terus mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Program-Program PERMATA, di samping membudayakan gaya hidup sihat serta semangat berpasukan dalam kehidupan seharian. – The Capital Post