KERALA 14 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abubakr dalam satu majlis yang berlangsung di Markaz Saquafathi Sunniya, Kerala.
Anwar menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan beliau bersama delegasi Malaysia diraikan dalam Majlis Zikir dan Doa yang menghimpunkan para ulama kehormat dari Kerala serta kira-kira 2,000 penuntut ilmu.
Majlis tersebut dipimpin Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad, yang turut menjadi tokoh utama dalam penganjuran majlis berkenaan.
Anwar menyifatkan penerimaan anugerah itu sebagai satu penghormatan yang diterima dengan penuh rendah hati sebelum mendedikasikannya kepada para ulama, pendakwah, ilmuwan serta pencinta ilmu yang terus mencurahkan bakti dalam usaha menyebarkan dakwah dan mengangkat martabat umat.
-Advertisement-
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyokong usaha keilmuan bersama para ulama, termasuk penganjuran majlis khatam serta pengajian kitab-kitab hadis.
Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Kerala selain menyuburkan tradisi ilmu serta melahirkan masyarakat yang kukuh pegangan agama, luas pengetahuan dan tinggi akhlaknya.
Anwar turut mendoakan agar segala ikhtiar yang dilaksanakan bersama para ulama memberi manfaat berterusan kepada umat serta mempererat hubungan keilmuan antara kedua-dua pihak – The Capital Post