KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki kedudukan ke-34 dunia dan tempat kedua dalam kalangan ekonomi berpendapatan menengah atas menerusi Indeks Inovasi Global (GII) 2026, dengan skor inovasi meningkat kepada 41.8 mata.
Pencapaian itu dikongsikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Ke-33 Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) di InterContinental Hotel, Kuala Lumpur, pada 3 November 2026.
Beliau berkata pencapaian tersebut perlu terus diperkukuh melalui pembangunan ekosistem bakat yang berdaya saing, khususnya dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, semikonduktor termaju dan tenaga bersih bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan.
Dalam usaha mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memberikan keutamaan kepada inisiatif yang menghubungkan penyelidikan tempatan dengan keperluan pasaran.
Menerusi Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), sebanyak 101 teknologi telah menerima sokongan dengan nilai pengkomersialan berjumlah RM171.8 juta.
-Advertisement-
Sementara itu, sebanyak 963 produk yang memperoleh pensijilan di bawah program MySTI telah menyumbang kepada perolehan kerajaan bernilai RM86 juta.
Chang Lih Kang turut menegaskan bahawa sektor industri perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai pelabur dan rakan strategik bagi membantu produk hasil penyelidikan tempatan menembusi pasaran global.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Toray Industries dan MTSF atas komitmen berterusan dalam menyokong penyelidikan tempatan serta usaha memperkukuh kedaulatan teknologi negara.
Turut hadir ialah Duta Besar Jepun ke Malaysia, YBrs. Encik Noriyuki Shikata; Pengerusi Toray Industries, Inc., Jepun, YBhg. Dato’ (Dr.) Akihiro Nikkaku; serta Pengerusi Malaysia Toray Science Foundation (MTSF), YM Academician Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen. – The Capital Post