ALOR GAJAH, 4 November 2026 – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menggalakkan mahasiswa memanfaatkan kebebasan bersuara untuk mengemukakan idea, pandangan dan kritikan membina terhadap dasar kerajaan sebagai sumbangan kepada pembangunan negara.
Beliau berkata siri pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini serta perancangan pemansuhannya kelak telah membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan pendirian, selagi tidak menyentuh isu agama, kaum dan institusi Diraja (3R).
Menurut beliau, pandangan bernas daripada golongan mahasiswa perlu diberikan perhatian kerana mereka merupakan antara generasi yang bakal menentukan hala tuju dan pembangunan negara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Wacana Semarak Patriotisme Siri Kedua: “Apa Khabar Mahasiswa? Patriotisme Diperkasa” di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, pada 3 November 2026. Program tersebut dihoskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid turut menggalakkan mahasiswa memanfaatkan sesi interaksi secara langsung bersama pemimpin bagi mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan mengenai dasar dan hala tuju negara.
Beliau turut menyentuh sumbangan UiTM yang telah melahirkan lebih sejuta graduan dalam pelbagai sektor, sekali gus mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai saluran mobiliti sosial dan pembangunan bakat negara.
-Advertisement-
Dalam perkembangan berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), beliau memaklumkan penyertaan pelajar meningkat daripada kira-kira 120,000 kepada 597,000 orang pada 2026. Bilangan institusi yang menawarkan bidang tersebut turut bertambah daripada 1,398 kepada 1,998 di seluruh negara.
Belanjawan 2027 pula menyediakan peruntukan RM8 bilion bagi ekosistem TVET, selain pelaksanaan TVET 2.0 yang memberi tumpuan kepada pendidikan berkemahiran tinggi menjelang 2030. Inisiatif itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kerjaya serta laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini dilaporkan mencapai 98.5 peratus. Selain itu, UiTM turut menerima peruntukan RM500,000 bagi penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum untuk meneroka bidang teknologi baharu.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan bantuan Care4U serta sesi interaksi secara langsung bersama mahasiswa.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Yamin Yasin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi; serta Rektor UiTM Cawangan Melaka, Dato’ Prof. Ts. Dr. Haji Mohd Rasdi Zaini. – The Capital Post