SEPANG 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) meninjau keadaan trafik serta tahap keselesaan pengguna selepas Persimpangan KIWA (FT29/FT32) dibuka kepada orang awam bagi memastikan kemudahan berkenaan berfungsi dengan lancar.
Tinjauan itu diketuai Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim bersama Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir. Ibrahim Esa, yang turut meninjau Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Persimpangan KIWA FT29/FT32 sehingga Laluan FT27 di Daerah Sepang, Selangor, semalam.
Persimpangan berkenaan mula dibuka kepada pengguna jalan raya pada 12 September lalu. Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada keadaan semasa laluan serta impak pembukaan persimpangan itu terhadap kelancaran pergerakan dan keselesaan pengguna.
-Advertisement-
Selain menilai keadaan jalan yang telah dibuka, rombongan turut melihat perkembangan terkini projek di kawasan berkenaan termasuk meneliti beberapa isu yang dikenal pasti untuk tindakan serta penyelesaian lanjut oleh pihak berkaitan.
KKR dalam pada itu menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan dan penyediaan infrastruktur jalan raya dilaksanakan mengikut aspek keselamatan serta piawaian kualiti, selain memberikan manfaat dan kemudahan kepada masyarakat – The Capital Post