PUTRAJAYA 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam menerusi peluasan penggunaan kecerdasan buatan (AI), penerapan inovasi serta usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Perkara itu menjadi antara fokus utama Mesyuarat Kerajaan Digital Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, semalam.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan awam yang lebih tangkas, berasaskan teknologi dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan digital, selaras dengan aspirasi menuju Negara AI 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan inisiatif kerajaan tanpa kertas turut menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 123,325 rim kertas berjaya dijimatkan sepanjang Ogos, dengan nilai penjimatan dianggarkan RM1.48 juta. Bagi tempoh Mei hingga Ogos pula, jumlah penjimatan terkumpul mencapai 482,940 rim, bersamaan RM5.79 juta.
-Advertisement-
Transformasi digital sektor awam turut dipandu menerusi Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026–2030 yang menjadi kerangka utama bagi memastikan usaha pendigitalan dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berteraskan pendekatan Whole-of-Government.
Kementerian Digital pula terus memainkan peranan sebagai peneraju agenda digital negara dengan menetapkan hala tuju pendigitalan sektor awam, menyelaras pelaksanaan RPSA serta memperluas penggunaan AI dan teknologi digital dalam pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Pendekatan tersebut diharap dapat memastikan transformasi digital bukan sekadar mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kertas, malah menghasilkan perkhidmatan awam yang lebih pintar, cekap dan responsif demi menyokong aspirasi Negara AI 2030 – The Capital Post