PUTRAJAYA 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadikan nilai empati dan inklusiviti sebagai antara asas utama Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bagi membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh dan terbuka kepada semua golongan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata warga kementerian perlu melangkaui pendekatan simpati dengan membina kefahaman dan empati yang lebih mendalam ketika melaksanakan dasar kerajaan, khususnya berkaitan keperluan kumpulan sasar.
Beliau berkata dasar yang dirangka tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya pelaksana di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tidak memahami secara langsung cabaran serta kesukaran yang dihadapi oleh golongan berkenaan.
Menurutnya, elemen Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusiviti (DEI) kini dimasukkan secara rasmi dalam RPTM, selain keputusan memansuhkan syarat tapisan permohonan Orang Kurang Upaya (OKU) ke IPT Awam sebagai sebahagian usaha memperluas akses pendidikan tinggi.
Mengulas isu berkaitan dakwaan penolakan pelajar berprestasi tinggi, Zambry mengingatkan pihak pengurusan IPT Awam supaya terus mengenal pasti dan mengembangkan potensi calon berdasarkan kapasiti serta ruang yang tersedia secara munasabah.
Beliau berkata pelaksanaan sistem meritokrasi secara telus turut menyaksikan kesemua 13,602 pemohon yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 daripada pelbagai aliran berjaya mendapat tempat di IPT Awam bagi sesi akademik semasa.
Dalam usaha memperluas peluang melanjutkan pengajian, kerajaan turut menyediakan 86,000 tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta 80,000 tempat bagi calon peperiksaan yang setaraf.
-Advertisement-
Sementara itu, kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun apabila seramai 114,911 pelajar mendaftar bagi tahun ini.
Bagi membantu memastikan kelangsungan pengajian golongan kurang berkemampuan, sebanyak 17 program penajaan khas tanpa persaingan terbuka turut disediakan, dengan kira-kira 29,000 pelajar daripada kelompok B40 menerima manfaat pada tahun ini.
Zambry berkata demikian ketika merumuskan sesi wacana bertajuk ‘Kemasukan Pelajar’ sempena Perhimpunan Bulanan KPT bagi September 2026 yang berlangsung di Dewan Za’ba, KPT, pagi tadi.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hashim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Syamsuri Abdullah.
Program itu turut menampilkan perkongsian mengenai kepentingan membangunkan ekosistem sokongan yang mesra OKU oleh Ketua Unit Perkhidmatan OKU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin, yang menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kategori Tokoh Wanita MADANI Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M atas sumbangannya memperjuangkan hak golongan berkeperluan khas – The Capital Post