Anwar Perkukuh Hubungan Malaysia-India

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW DELHI 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim merumuskan lawatan kerja ke India sebagai kunjungan yang membawa hasil penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain membuka ruang kerjasama ekonomi serta pelaburan baharu.

Dalam kenyataan menerusi media sosial, Anwar berkata Malaysia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 terus membawa suara negara-negara Selatan Global dalam usaha membentuk sistem antarabangsa yang lebih adil dan seimbang.

Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dengan terus menolak penjajahan, keganasan serta sikap berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman.

Sepanjang lawatan itu, Anwar mengadakan beberapa pertemuan dua hala termasuk bersama Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali.

Menurutnya, pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan Malaysia yang semakin mendapat penghormatan di peringkat global, di samping membolehkan negara bekerjasama dengan pelbagai kuasa dunia berdasarkan prinsip, kepentingan nasional dan kesejahteraan rakyat.

Dari sudut ekonomi, minat syarikat-syarikat utama India untuk meneroka kerjasama dengan Malaysia dalam sektor automotif, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan berteknologi tinggi turut menjadi antara perkembangan penting hasil lawatan tersebut.

-Advertisement-

Kerjasama itu disasarkan dapat menarik lebih banyak pelaburan ke negara, memperluas peluang pembangunan bakat tempatan serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

Di Kerala pula, hubungan sejarah dan peradaban antara kedua-dua negara diberi nafas baharu menerusi usaha memperkukuh kerjasama ekonomi. Pertemuan dengan pimpinan negeri serta pemain industri dari India, Malaysia dan negara-negara Teluk membuka peluang dalam bidang ekonomi digital, kesihatan, pendidikan, pelancongan, logistik dan industri halal.

Kunjungan ke Markazu Saquafathi Sunniyya turut menjadi wadah untuk membincangkan peranan Malaysia dalam perkembangan ilmu dan pemikiran Islam, termasuk keperluan membangunkan pendekatan terhadap AI yang berteraskan nilai, tanpa menjejaskan akhlak, kebebasan berfikir dan prinsip kemanusiaan.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India atas sambutan serta layanan sepanjang berada di New Delhi dan Kerala, selain menghargai sumbangan Kedutaan Besar Malaysia di India, anggota delegasi, pengamal media dan semua pihak yang membantu menjayakan lawatan berkenaan.

Beliau kini meneruskan misi Diplomasi MADANI ke Maldives selepas menamatkan lawatan di India – The Capital Post