Empat Pemancing Hilang Ditemui Selamat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG 16 September 2026 (The Capital Post) – Empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam semalam ditemukan selamat di perairan Tanjong Karang hari ini.

Keempat-empat mangsa dipercayai ditemui oleh kru sebuah bot pukat tunda tempatan yang melalui kawasan berkenaan sebelum mereka dibawa ke Jeti Sementa, Kapar untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, identiti individu yang diselamatkan masih belum disahkan secara rasmi kerana proses pengecaman belum dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Waris dan ahli keluarga mangsa dilaporkan berkumpul di Jeti Sementa bagi menunggu ketibaan bot berkenaan serta mendapatkan pengesahan mengenai keadaan ahli keluarga masing-masing.

-Advertisement-

Penemuan empat individu itu memberi harapan kepada keluarga yang masih menanti, namun operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilaksanakan bagi mengesan tiga lagi pemancing yang masih belum ditemui.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama agensi penyelamat berkaitan terus menyelaras usaha pencarian di sekitar perairan berkenaan bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang – The Capital Post