MALÉ 16 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim merumuskan hasil lawatan rasmi ke Republik Maldives menerusi sidang media bersama pengamal media Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, Anwar berkata meskipun lawatan tersebut berlangsung dalam tempoh singkat, beberapa perbincangan penting telah diadakan secara terbuka bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Maldives.
Antara hasil utama lawatan itu ialah persetujuan untuk mempercepatkan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives yang akan dihoskan di Kuala Lumpur sebelum penghujung tahun ini. Mekanisme berkenaan dijangka membantu menyelesaikan perkara berbangkit serta menetapkan tindakan konkrit bagi memperluas kerjasama kedua-dua negara.
Malaysia turut bersetuju secara prinsip menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan kewangan bernilai AS$100 juta, dengan Bank Negara Malaysia dan Maldives Monetary Authority akan memperincikan mekanisme serta proses pelaksanaannya.
Dalam bidang tenaga, Anwar berkata beliau akan berbincang dengan PETRONAS berhubung cadangan untuk meneroka potensi kerjasama tenaga di Maldives. Selain itu, dua memorandum persefahaman berkaitan pertahanan dan hal ehwal Islam turut dipertukarkan sepanjang lawatan tersebut.
Kerajaan Malaysia juga akan meneliti beberapa isu birokrasi yang dihadapi pelajar Maldives serta keluarga mereka, selain meneroka peluang kerjasama dalam bidang kesihatan mental dan kebajikan golongan kurang upaya.
-Advertisement-
Menurut Anwar, Malaysia dan Maldives turut berkongsi pendirian mengenai keperluan pelaksanaan komitmen antarabangsa yang lebih berkesan dalam menangani perubahan iklim, termasuk memastikan pembiayaan yang telah dijanjikan dapat disalurkan.
Dalam isu Palestin, kedua-dua negara kekal dengan pendirian untuk memperjuangkan kebebasan dan keadilan rakyat Palestin serta menolak penjajahan dan kezaliman terhadap rakyat di Gaza.
Anwar menyifatkan lawatan itu sebagai bukti bahawa Malaysia dan Maldives mampu memainkan peranan dengan pendirian yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran, tadbir urus yang baik serta menolak penindasan terhadap negara dan rakyat lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, kerajaan serta rakyat negara itu atas layanan dan persahabatan yang diberikan, selain menghargai sumbangan delegasi Malaysia, petugas kedutaan dan semua pihak yang menjayakan lawatan berkenaan.
Anwar berkata beliau pulang ke tanah air dengan harapan agar segala kesepakatan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata demi manfaat rakyat Malaysia dan Maldives – The Capital Post