Hospital Lawas Siap, Perkukuh Akses Kesihatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LAWAS 16 September 2026 (The Capital Post) – Hospital Lawas berkapasiti 76 katil kini siap dan diserahkan kepada kerajaan, sekali gus memperkukuh akses penduduk setempat serta kawasan sekitar kepada kemudahan perkhidmatan kesihatan yang lebih moden, selamat dan selesa.

Majlis Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembinaan Hospital Lawas (76 Katil), Fasa 2B: Kerja Bangunan dan Kerja-Kerja Berkaitan – Tender Semula itu disempurnakan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, pada 14 September 2026 di Hospital Lawas, Sarawak.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib; Timbalan Premier Sarawak merangkap ADUN N.82 Bukit Sari, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan; serta Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.221 Limbang, Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah.

Projek yang dilaksanakan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) itu bermula pada 30 Jun 2020 menerusi kaedah Reka dan Bina dengan MCS Management Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM183 juta.

Dengan kapasiti 76 katil, hospital berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta memberi kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat Lawas dan kawasan sekitarnya.

-Advertisement-

Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menegaskan kepentingan memastikan kualiti projek terus dipelihara sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), termasuk tindakan segera oleh kontraktor terhadap sebarang aduan berkaitan kecacatan.

Dalam masa sama, JKR akan meneruskan pemantauan pasca penyerahan bagi memastikan kemudahan hospital berfungsi dengan baik serta mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

KKR merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk Pasukan Projek Khas 2 JKR Malaysia, pasukan reka bentuk, kontraktor utama serta pasukan perunding profesional.

Penyiapan Hospital Lawas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur awam berkualiti tinggi dan memastikan keperluan kesihatan serta kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian – The Capital Post