KUALA LUMPUR 18 September 2026 (The Capital Post) – UMNO menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas keputusan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata keputusan itu amat bermakna buat Najib dan keluarganya, selain memberi kelegaan kepada seluruh keluarga UMNO yang selama ini terus menaruh harapan serta menitipkan doa berhubung perkara berkenaan.
Menurut beliau, UMNO sejak awal berpendirian untuk membawa permohonan tersebut secara tertib dan rendah hati melalui saluran yang ditetapkan, selain terus menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan budi bicara baginda.
Dalam kenyataan sama, beliau menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan tersebut dengan penuh rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses dan ketetapan yang telah ditetapkan.
-Advertisement-
UMNO turut mengambil inisiatif melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Dato’ Sri Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan terhadap beliau.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyeru kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta orang ramai yang ingin memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela melalui inisiatif berkenaan yang akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
UMNO turut mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta memelihara keamanan dan keharmonian negara – The Capital Post