BEAUFORT 19 September 2026 (The Capital Post) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti sekolah melalui Program Permuafakatan PDRM Bersama Warga SMK Membakut II Bil. 2/2026 yang berlangsung semalam.
Program yang diadakan pada 18 September 2026 di Dewan Seri Gemilang, SMK Membakut II itu disertai Ketua Polis Daerah Beaufort, YDH SUPT Champin bin Piuh bersama pegawai dan anggota IPD Beaufort.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar, khususnya berkaitan penyalahgunaan dadah, isu buli, penipuan dalam talian atau scammer serta kehamilan bawah umur.
Dalam program itu, YDH Ketua Polis Daerah Beaufort turut menyampaikan taklimat dan menekankan kepentingan penglibatan guru, ibu bapa serta seluruh warga sekolah dalam melaksanakan langkah pencegahan awal terhadap salah laku dan jenayah.
-Advertisement-
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen IPD Beaufort dalam memperkukuh hubungan kerjasama bersama komuniti sekolah, selain meningkatkan kesedaran pelajar mengenai aspek keselamatan, pencegahan jenayah dan kepentingan mematuhi undang-undang.
Kerjasama berterusan antara PDRM dan institusi pendidikan dilihat penting bagi membentuk persekitaran sekolah yang lebih selamat serta membendung risiko pelajar terlibat dalam salah laku dan kegiatan jenayah – The Capital Post