Ahmad Zahid, Erdogan Sasarkan Dagangan USD10 Bilion

Estimate Reading Time: 2 minutes

ISTANBUL 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Turkiye.

Pertemuan selama 30 minit yang berlangsung pada 4 petang waktu tempatan itu diadakan selepas Erdogan merasmikan Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC). Ahmad Zahid kemudian menyertai sesi bertajuk “Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor” dalam forum berkenaan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan sasaran perdagangan dua hala daripada USD5.6 bilion pada 2025 kepada USD10 bilion menjelang 2030. Sasaran itu susulan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) yang mengadakan mesyuarat sulung di Ankara pada Januari lalu.

Ahmad Zahid turut membincangkan peranan Turkiye sebagai Rakan Dialog Sektor ASEAN ke-12 serta komitmen Malaysia sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN-Turkiye dalam memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan penghargaan kepada Erdogan atas komitmen Turkiye dalam usaha memperjuangkan keamanan serantau, termasuk penglibatan negara itu dalam isu Syria, Lubnan dan Palestin serta peranannya sebagai pengantara konflik Rusia-Ukraine menerusi proses Istanbul.

Perbincangan turut menyentuh perkembangan usaha diplomatik bagi mengurangkan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran, termasuk inisiatif bersama Turkiye, Pakistan, Qatar serta Arab Saudi.

-Advertisement-

Selain itu, Ahmad Zahid menyatakan sokongan Malaysia terhadap peranan Turkiye sebagai tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) yang dijadual berlangsung di Antalya pada 11 dan 12 November ini.

Sebelum pertemuan bersama Erdogan, Ahmad Zahid turut menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK), Prof Dr Erol Ozvar di hotel penginapannya. Beliau juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz di Pusat Kongres Istanbul.

Ahmad Zahid berada di Turkiye bagi lawatan kerja selama empat hari bermula 5 hingga 8 November sempena penyertaannya dalam Forum Dunia TRT 2026 yang menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media dan wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia.

Forum selama dua hari itu membawa tema “A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?” dengan memberi tumpuan kepada landskap kepimpinan dan hubungan antarabangsa dalam menghadapi ketidaktentuan global. – The Capital Post