NAIROBI 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pemimpin sebuah kultus kontroversi di Kenya, Paul Mackenzie, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 200 tahun selepas didapati bersalah atas 191 pertuduhan membunuh yang melibatkan kematian 190 kanak-kanak dan seorang mangsa dewasa akibat amalan berpuasa secara ekstrem.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi di Mombasa pada Jumaat, dengan Hakim Diana Kavedza Mochache menetapkan semua hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut, menjadikan tempoh keseluruhan pemenjaraan Mackenzie selama 200 tahun.
Mackenzie, bekas mubaligh yang mengetuai Gereja Good News International, menerima hukuman penjara 100 tahun bagi kematian 190 kanak-kanak dan tambahan 100 tahun berhubung kematian seorang mangsa dewasa.
Kesalahan itu dikaitkan dengan tragedi di Hutan Shakahola, tenggara Kenya, apabila pengikutnya didakwa diarahkan menjalani amalan berpuasa secara melampau sehingga menyebabkan mereka dan anak-anak mereka kebuluran.
Pihak pendakwaan mendakwa Mackenzie mempengaruhi pengikutnya supaya tidak mengambil makanan atas kepercayaan bahawa tindakan itu akan mendekatkan mereka kepada Jesus Christ.
-Advertisement-
Kes berkenaan mendapat perhatian antarabangsa pada April 2023 selepas pihak berkuasa memulakan operasi menggali semula mayat yang ditanam di dalam kubur cetek di kawasan hutan terpencil berkenaan.
Hasil siasatan mendapati sebahagian besar mangsa terdiri daripada kanak-kanak, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat serta persoalan mengenai kegagalan mengesan kegiatan tersebut lebih awal.
Tragedi itu turut mencetuskan siasatan lebih meluas berkaitan ekstremisme agama, pemantauan terhadap organisasi keagamaan serta kelemahan tindakan pihak berkuasa meskipun terdapat amaran terdahulu mengenai kegiatan Mackenzie.
Insiden berkenaan kekal sebagai antara tragedi berkaitan kultus paling dahsyat dalam sejarah Kenya. – The Capital Post