KPM Perkukuh Akses Pendidikan di Pulau-Pulau Semporna

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEMPORNA, 21 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh akses pendidikan bagi murid di kawasan pulau di Semporna, Sabah dengan memberi perhatian terhadap pengoperasian sekolah, kemudahan pendidikan serta cabaran aksesibiliti.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBhg. Dato’ Zainal bin Abas mengadakan lawatan kerja ke beberapa sekolah di kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.

Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada cabaran lokasi dan aksesibiliti serta keperluan penambahbaikan kemudahan bagi menyokong penyampaian pendidikan berkualiti kepada murid.

Antara sekolah yang dikunjungi ialah SK Pulau Mabul, SMK Bum Bum dan SK Pulau Bum Bum K9.

-Advertisement-

SK Pulau Bum Bum K9 kini sedang dipersiapkan ke arah pengoperasian K11 sebagai sebahagian usaha memperluas peluang pendidikan kepada murid di kawasan tersebut.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memperkukuh akses pendidikan serta menjaga kebajikan murid dan warga pendidikan tanpa mengira lokasi. – The Capital Post